welcOme


Wednesday, July 27, 2011

“Sang Penakluk”

                              Bismillahhirrahmanirrahim…
 
Segala puja dan puji dipanjatkan buat rabbul Jalil , Tuhan sekelian a’lam, atas nikmat iman dan Islam, segugus selawat dan salam dikirim buat idolaku rasul junjungan Muhammad SAW, ahli bait , para shabt baginda seterusnya tabi’ tabii’n dan mereka yang menyelusuri jalan dakwah  baginda..
 
Rasulullah saw telah bersabda: sampaikanlah walaupun satu ayat”

    Telah lama benar jari jemari ini tidak menari-nari di papan kekunci, berkongsi rasa. Sebelum ini hanya meluah rasa hati yang terbuku dalam lap top tua milik peribadi ;) Sesungguhnya setiap kekuatan itu dari Allah…Seandainya Allah tidak memberi kekuatan dan sekiranya bukan dari kehendak  Allah  maka jari jemari ini akan kaku, ilham dan idea akan beku, ilmu akan terkubur dan amal akan sirna…nauuzubillahiminzalik..
 
          Sabtu lalu saya dan keluarga berkesempatan mengikuti Kolukium Ulama’ Muda (KOKUM) di KUIN. Rasa ralat sebenarnya sepanjang program berlangsung  saya hanya dapat sertai kolukium  pada hari yang terakhir…itupun hanya  sempat mengikuti tiga dari lima pembentangn kertas kerja tetapi tetap bersyukur kerana masih di beri peluang oleh Allah SWT untuk berada di dalam majlis ilmu yang amat mendamaikan, membersih jiwa,  mengetuk pintu hati .. sehingga hati terpanggil  ingin berkongsi rasa untuk di terjemahkan melalui penulisan ini..

       Teruja amat. Itulah yang dapat saya gambarkan tatkala menerima kertas kerja program. Satu persatu tajuk dan isi diaamati. Dibentang pula oleh pembentang yang bersuara lantang, bersemangt , bersungguh-sungguh menyampaikan pembentangan. Pembentangan beliau  padat dengan fakta, info dan maklumat, diiringi dengan tayangan LCD , meneguhkan keyakinan, mengukuhkan lagi gambaran dan kefahaman kami para peserta. 
 
 Kertas kerja pertama, berkisar tentang seorang sultan yang amat saya kagumi sebelum ini. Kualiti sifat baginda dapat mengalahkan orang-orang terdahulu sedangkan baginda  tidak hidup di zaman Rasulullah saw dan bukan dari kalangan  orang Arab. Kelahiran baginda sebenarnya telah diramal Rasulullah SAW. Subhanallah. Maha Suci Allah.  Mukjizat nabi yang tidak boleh kita nafikan . Baginda lahir selepas kejatuhan kerajaan Abbasiyah ,krisis di Andalusia dan selepas 100 tahun empayar Uthmaniyah bertapak. Baginda ketika kecil merupakan seorang anak yang nakal. Ayahanda baginda, telah meminta ramai a’lim ulamak mendidik baginda tetapi semua tidak mampu menangani kenakalan baginda sehinggalah seorang guru telah diamanahkan untuk mendidik baginda iaitu Maulana Syeikh ibnu Ismail al-Kurrani. Didikan pertama beliau adalah dengan  rotan. Didikan demi didikan daripada hati ikhlas maulana Syeikh akhirnya from zero he became hero.  

        Rasulullah saw pernah bersabda ketika perang Khandak ,membakar semangat para sahabat bahawasanya kota Konstantinopel yang dikuasai bangsa Rom ketika itu akan di buka suatu hari nanti, pemimpinnya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Selepas kewafatan Rasulullah SAW pelbagai usaha dan percubaan telah dijalankan  untuk menawan Kota Konstantinopel (kini Istanbul) tetapi tidak berhasil. Zaman berzaman telah berlalu, dan  akhirnya pada 29 Mei 1453 kota ini dapat ditawan oleh baginda. Allahuakbar!!! Baginda ketika itu hanya berusia lebih kurang 21 tahun memimpin tentera . Persoalannya, bagaimana remaja seusia ini mampu menawan kota yang menjadi impian sejak zaman berzaman seterusnya merialisasikan ramalan rasulullah saw, membuktikan kebenaran mukjizat nabi saw? Siapakah dia raja yang terbaik sehingga mendapat pujian rasulullah SAW disaat baginda belum lahir?
 
       Kualiti sifat baginda dan kualiti sifat para tenteranya merupakan salah satu faktor kejayaan baginda menawan kubu Kota Konstantinopel, meruntuhkan empayar Byzantine . Diriwayatkan baginda tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan solat sunat rawatib semenjak baginda baligh. Tentera-tentera baginda juga dipilih bukan hanya dinilai dari segi kekekuatan fizikal tetapi kekuatan rohani juga menjadi keutamaan. 
 
“Dan binalah persiapan bagi menghadapi mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu mampu”                                                                                                                                                                   Surah al-Anfal:60
 
Ayat ini menjadi sumber inspirasi  untuk ayahanda baginda dan maulana Syeikh ak-Kurrani memastikan misi menawan kota rebutan menjadi kenyataan. Ia adalah persiapan yang komprehensif dari segenap sudut kekuatan dan peluang tanpa meremehkan mana-mana elemen yang mampu menggagalkan kejayaan misi biar sekecil manapun.  Kejayaan yang dicapai baginda merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat dari para ulama’, perancangan yang rapi berasaskan penyelidikan sejarah yang mendalam, kerja sepasukan yang jitu, pemilihan strategi ketenteraan yang sesuai pada waktunya dan keyakinan yang luar biasa kepada pertolongan Allah SWT.

          Mendapat didikan spiritual langsung daripada ayahanda baginda yang merupakan seorang sufi, ahli tasawwuf yang mempunyai kehebatan spiritual yang tinggi. Baginda dibentuk dan ditarbiyyah dengan aliran agama dan disemai rasa kecintaan pada ilmu mencakupi ilmu sains, astronomi dan sebagainya. Baginda juga dapat menguasai lebih dari lima bahasa, seterusnya memudahkan urusan pentadbiran dan diplomatic  empayar Othmaniyah. Sejak dari kecil ayahanda baginda dan para guru baginda seperti Syeikh Syamsuddin , bukan sekadar seorang ulama’ syariah malah beliau merupakan pakar dalam bidang sains pertanian, Syeikh Alauddin at-Tusi, dan ramai lagi bertanggungjawab   membakar semangat baginda dan memberi keyakinan bahawa bagindalah yang akan menawan kota idaman itu suatu ketika nanti. Dikatakan juga didalam bilik baginda turut  dilekatkan peta kota Konstantinopel agar misi dan visi sentiasa berlegar diminda baginda.
 
       Meneladani baginda beerti meneladani minda intelektualnya seiring dengan semangat aktivisme jihad baginda. Untuk mencapai misi dan visi, baginda telah membuat kajian geografi dan sains ketenteraaan. Baginda mengkaji peta kota Konstantinopel, kedudukan kubu pihak musuh , keadaan bentuk muka bumi dan cuaca di sekelilng kota. Baginda mendapati kota itu bukan sebarang kota, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang   kukuh, kedudukannya dikelilingi bukit bukau , 2/3 kawasannya dikelilingi air, keadaan cuacanya agak extreme. Diriwayatkan baginda sendiri keluar menyamar menjadi rakyat Byzantine untuk  mendapatkan data dan maklumat yang tepat , seterusnya barulah baginda bertindak.  
 
        Disamping itu, baginda juga menyelidik dan mengamati sejarah lampau, menjadikan kekalahan dan kegagalan pejuang Islam  terdahulu sebagai iktibar agar sejarah tidak berulang. Baginda juga turut mengkaji sejarah Alexander The Great, Julius Ceaser dan tokoh –tokoh dunia lain . Baginda banyak belajar dari sejarah , contohnya cubaan untuk menawan kota Konstantinopel pernah gagal oleh orang terdahulu akibat cuaca sehinggakan baginda memilih bulan April dan Mei untuk melancarkan serangan kerana cuaca ketika itu baik. Pejuang-pejuang terdahulu juga pernah gagal menawan kota impian akibat kebocoran maklumat , jadi baginda amat berhati-hati dan amat mementingkan kerahsiaan sehinggakan baginda pernah berkata, “sekiranya rambutku tahu strategiku, akanku tarik rambutku.” Bahkan baginda wafat dalam sebuah misi pembukaan sebuah kota di Barat yang tidak diketahui tenteranya sendiri.

        Selain itu, baginda turut memenangi hati rakyat non muslim di Byzantine, berbanding pemerintah mereka yang zalim . Baginda dapat menawan hati rakyat Byzantine dengan menonjolkan keadilan Islam. Paderi-paderi  di Byzantine mengeluarkan kenyataan bahawa mereka lebih rela diperintah oleh mereka yang beserban besar, merujuk kepada pemerintahan empayar Uthmaniyah. Baginda turut menjalinkan hubungan diplomatic dengan pemerintah  serantau , untuk mengukuhkan lagi kekuasaan baginda. Strategi diplomatic yang hebat ini turut menyumbang menjadi factor kejayaan baginda.

       Senjata merupakan salah satu elemen penting yang  menjadikan impian sultan muda ini menjadi kenyataan. Senjata pemusnah, the giant killer weapon merupakan meriam pertama yang digunakan dalam serangan untuk meruntuhkan kubu kebal kota tersebut. Idea asal penciptaan senjata ini dipelopori oleh orang Hungry. Islam bermusuh dengan kekufuran tetapi tidak pada teknologi mereka. Tenaga dan pereka Hungry diambil dari penjara Byzantine. Bagaimana? Menurut riwayat satu terowong telah digali sehingga tepat ke tempat kurungan pereka Hungary yang menjadi tawanan kerajaan Byzantine, dan beliau telah diselamatkan seterusnya berkongsi kepakaran dalam penghasilan senjata tersebut.  Begitu tepat, teliti dan hebatnya perancangan baginda .  
 
       Sifat teliti, berhati-hati dan matangnya persiapan taktikal sultan muda ini jauh mengatasi usianya sendiri  yang baru berusia 21  tahun ketika misi diumumkan kepada rakyat jelata. Penyediaan 140 buah kapal perang , 320 buah bot, 150 ribu askar, 12 ribu tentera Janissaries, 4 meriam gergasi, puluhan mortar dan ratusan ekor kerbau sudah cukup menggambarkan persiapan baginda jauh terkehadapan dari masa dan zaman baginda hidup sendiri.
          
         Serangan demi serangan, dua minggu melakukan kepungan, kubu kota itu musuh masih kukuh  . Empat kapal besar di hantar oleh Pope untuk membantu kerajaan Byzantene.  Sultan muda ini makin buntu. Di saat itu para pegawai baginda mula luntur semangat. Baginda hampir berputus asa. Guru baginda Syeikh Shamsudin memberi semangat dan nasihat agar tegas melakukan pesanan rasulullah SAW, pecat mereka yang melunturkan semangat baginda, dan akhirnya baginda bangkit kembali melakukan strategi paling gila, pemikiran out the box sehingga berjaya mencapai misi.
 
         Unexpected stratergy ini  hasil dari tradisi  peguruan dan keilmuan yang hebat sebelum ini  serta sunnah Rasulullah SAW diteladani oleh baginda. Serangan mengejut melalui jalan bukit berlaku dalam satu malam di musim panas . Hutan , bukit bukau ditebas di sapu minyak . Bayangkan  70 buah kapal dapat dipindahkan dari selat keTanjung Emas dalam masa hanya satu malam melalui jalan bukit dengan jarak lebih lima batu. Byzantine gegak gempita. 800 tahun penantian, Konstantinopel akhirnya ditawan. Panji Islam dikibarkan.   
 
                       Allahuakbar!!!
 
“Tidaklah pernah kami melihat atau mendengar hal yang ajaib ini, Baginda telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya dipuncak gunung dan bukannya di ombak lautan”                                                                                                                                                                                         -Sejarawan Byzantine


        Siapa dia lelaki hebat yang telah disenaraikan antara 100 pimpinan terbaik dunia ini oleh para pengkaji Barat dan timur? Melakar sejarah baru dunia Islam ketika itu, baginda adalah sebaik-baik raja kepada sebaik-baik tentera, baginda adalah Sultan Muhammad bin Murad Al-fateh, ‘Sang Penakluk’. Pemikiran negarawan Sultan Muhammad al-fateh mengajar kita bahawa membangunkan semula itu tidak semudah meruntuhkan sesebuah regim yang zalim. Baginda dengan segera membina semula tembok Konstantinopel bagi tujuan ketenteraan, membina semula istana Topkapi bagi tujuan politik pemerintahan, membina semula Haghia Sophia dan mendirikan kompleks Abu Ayyub al-Ansari bagi tujuan keagamaan, membina semula masjid bagi tujuan social dan pendidikan serta membina bazaar ‘bedestan’  untuk tujuan ekonomi.

        Ramai orang arab dan yahudi yang ditindas di Sepanyol berhijrah ke Islambul (kini diubah kepada nama Istanbul oleh Mustafa Kamal attartuk , laknatullah). Sultan Muhammad al-Fateh  terus mengekalkan identity Ortodoks Bandar tersebut yang hampir pupus kerana bergabung dengan gereja Barat. Kerana baginda jualah, mazhab ortodoks terus kekal dari keadaan sebelumnya yang sudah hampir mati dan pupus. Atas arahan daripada baginda, sebarang gereja dan rumah ibadat tidak dimusnahkan dan tiada seorang pun dari kalangan yahudi dan Kristian diambil apa-apa tindakan.

         Resolusi yang dapat saya dan kita semua simpulkan, pertama, konsep, makna, bentuk kandungan kepimpinan social disepanjang pemerintahannya. Kedua, kejayaan demi kejayaan untuk Islam dalam menerajui dan mendahului masa depan,. Ketiga, meletakkan dunia dipaksi yang benar dengan ruh terkuat iaitu Islam sebagai rahmatan lil a’lamin (rahmat sekelian alam). Buat Ummat islam masa kini, inilah model pentadbiran Negara Islam dalam semua aspek iaitu ekonomi, politik dan social.Wallahua’la wa a’lam.


Semoga perkongsian ini dapat menjadi pemberat mizan diakhirat, dijadikan pengajaran dan iktibar untuk kita amalkan. Walaupun sedikit, cuba untuk menyelusuri jejak langkah orang-orang soleh yang terdahulu demi mencapai kebahagian hakiki dan abadi, redho Allah…saya budak baru belajar salah silap tolong tunjukkan..permisi , jumpa lagi.wasalam.




                   Nukilan : aqilah_azizan @ yahoo.com

1 comment: